Followers

Tuesday, 26 March 2013

Rajang Area Security Command (RASCOM) - Model dan legasi bagi East Sabah Security Command (ESSCOM)


Kejadian pencerobohan Pengganas Sulu dari Filipina yang telah mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia telah membuka mata kepada tahap keselamatan di sekitar kawasan timur Sabah yang berdekatan dengan sempadan negara Filipina dan Indonesia. Keadaan dan keluasan sempadan maritim di kawasan tersebut telah menyebabkan kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan aktiviti - aktiviti penyeludupan agak sukar di kawal.

Akibat peristiwa serangan pengganas di Lahad Datu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pada 7 Mac 2013 tentang penubuhan satu kawasan keselamatan khas yang dikenali sebagai 'East Sabah Security Command' atau ESSCOM. Konsep penubuhan dan pengoperasian ESSCOM ini telah mengambil pendekatan yang mirip kepada 'Rajang Area Security Command' atau RASCOM yang telah diwujudkan di Negeri Sarawak pada tahun 1972 untuk menewaskan ancaman gerakan komunis.

http://2.bp.blogspot.com/-P5kRFwRZymM/UVDo-ZGCkEI/AAAAAAAAjNo/aFGih-Yz8CQ/s1600/esscom.png
Sehubungan dengan itu, disini akan diterangkan secara ringkas tetapi padat berkenaan sejarah penubuhan RASCOM di dalam memastikan integriti dan keutuhan keselamatan negara sentiasa dipelihara.

Sejarah Penubuhan RASCOM

Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang "Rajang Area Security Command" (RASCOM) secara rasminya ditubuhkan pada 25 Mac 1972. Penubuhannya berlandaskan kepada beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam oleh komunis di Bahagian Ke-3 Sarawak oleh ahli-ahli Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (BKPKKU).

Ekoran dari itu, satu Surat Arahan bertarikh 1 April 1972 telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Ke-2, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein yang juga Pengerusi Keselamatan Negara bagi menubuhkan 3rd Division Area Security Command (3rd DASC) yang mana beribu pejabat di Sibu, untuk menangani masalah keselamatan akibat daripada keadaan genting di kawasan Lembah Rajang yang sentiasa diancam oleh ahli-ahli BKPKKU.

Kawasan Operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. RASCOM dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan untuk memulih serta mengekal keselamatan dan keamanan di bahagian-bahagian berkenaan sejajar dengan Arahan No.4 yang dikeluarkan oleh MAGERAN / MKN demi kelicinan dan keberkesanan pentadbiaran serta perjalanan jentera kerajaan amnya dan Kerajaan Negeri Sarawak khususnya.


Struktur Organisasi RASCOM

RASCOM merupakan sebuah organisasi yang unik di mana pegawai dan kakitangannya bukan sahaja terdiri daripada anggota-anggota tentera tetapi juga pihak awam dan polis. Kesemua mereka ini berkhidmat secara koordinasi di bawah satu bumbung yang sama dan mempunyai objektif yang sama iaitu dipertanggungjawabkan untuk secara khusus membenteras dan menghapuskan ancaman komunis di Negeri Sarawak.

Secara umum, RASCOM diketuai oleh YAB Ketua Menteri Sarawak selaku Pengarah Gerakan yang mana bertanggungjawab mengkoordinasi dan mengawal fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dengan pejabat-pejabat awam dalam bahagian liputan RASCOM. Dalam menjalankan fungsi tersebut, ianya tertakluk kepada arahan PPSR/Public Security Ordinance, Sarawak 1962 dan Interal Security Act 1960 dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan dibawah akta-akta berkenaan. Selain daripada itu, Ketua Menteri selaku Pengarah Operasi Negeri juga perlu bergantung kepada arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri dari semasa ke semasa.

Walaubagaimanapun, segala aktiviti harian organisasi RASCOM di deligasikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik dari kalangan Pegawai Tadbir Kanan Negeri Sarawak secara pinjaman. Selama tempoh kewujudan RASCOM, antara yang pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya ialah :

  1. Datuk Yao Ping Hwa
  2. Tan Sri Wan Sidek bin Haji Wan Abdul Rahman
  3. Encik Abang Mohammed Sarkawi
  4. Datuk Ignatius L. Angking
  5. Encik William Tan Tieng Kee
  6. Encik Abd. Kadir bin Abdullah
  7. Encik Paul Chieng Ung Yew
  8. Encik Empeni Lang
  9. Encik Leo Jana Etin

Dalam melaksanakan tugas-tugasnya, Ketua Pegawai Eksekutif adalah dibantu oleh Panglima Pasukan Keselamatan RASCOM, Ketua Pegawai Turus (Awam), Ketua Pegawai Turus (Polis) dan Ketua Pegawai Turus (Tentera). Dalam hubungan diatas, secara langsung Panglima Pasukan RASCOM bertanggungjawab di dalam pelaksanaan gerakan pasukan keselamatan di kawasan liputan RASCOM dan bertindak sebagai penasihat utama gerakan pasukan keselamatan kepada Pengarah Gerakan Negeri.

Dalam rangka pelaksanaan pentadbirannya, RASCOM menggunakan sistem jawatankuasa di mana ianya mempunyai tiga jawatankuasa utama seperti :

  1. Jawatankuasa RASCOM yang dipengerusikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif dengan bidang tugasnya adalah bagi mengubal segala dasar bersabit dengan aktiviti - aktiviti.
  2. Jawatankuasa Perancang Gerakan yang dipengerusikan oleh Panglima Pasukan Keselamatan RASCOM dengan bidang tugasnya bagi merancangan gerakan-gerakan di kawasan RASCOM.
  3. Jawatankuasa Perangsaraf yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Turus (Awam) dengan bidang tugasnya bertanggungjawab bagi merancang dan melaksanakan segala kegiatan perangsaraf dan geraksaraf.

Pembubaran RASCOM

Melalui usaha gigih dengan penuh komitmen yang jitu di kalangan anggota RASCOM dan dibantu oleh kerajaan pusat serta negeri, kewujudan RASCOM berjaya memenuhi inspirasi, tugas dan tanggungjawab dalam menghakis ancaman komunis di Sarawak.

Ancaman dan ideologi komunis di bumi Sarawak mulai reda sekitar akhir tahun 1980 dan kebanyakkan bekas-bekas komunis telah kembali ke pangkuan masyarakat selepas berlakunya penyerahan atau perletakan senjata seperti yang dilakukan dalam tiga tahap iaitu penyerahan seramai 585 ahli BKPKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok dalam Operasi Sri Aman  pada tahun 1973, kemudian pada tahun 1986 yang diketuai oleh Ubong anak Nuing beserta 40 orang ahlinya dan pada tahun 1990 pula seramai 53 orang.

Jesteru itu pada 17 Oktober 1990 menyaksikan detik baru sejarah negara di mana termeterainya penyataan  bersama oleh Kerajaan Malaysia dan BKPKKU sebagi satu perjanjian keamanan dan pendamaian, ancaman dan ideologi komunis. Penyataan ini disaksikan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak dan Ketua BKPKKU iaitu Hung Chu Ting di Bangunan Tuanku Abdul Rahman, Petra Jaya, Kuching. Secara rasminya RASCOM dibubarkan mengikut Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 November 1994 dan semua operasi keselamatan di Negeri Sarawak diselaraskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun demikian kewujudan RASCOM harus diingati dan perlu dijadikan model dalam mengatasi sebarang masalah yang berkait rapat dengan sesuatu ideologi yang bertentangan dengan ideologi yang diamalkan oleh negara kita.


2 comments:

  1. Saya pernah membawa rombongan RASCOM dgn pesawat Caribou yg diketuai oleh Kol Hanif melawat Kawasan Tanggung Jawab sebelum dibubarkan.

    ReplyDelete
  2. Saya pernah tinggal di kem rascom dari 1987 hingga 1990

    ReplyDelete